Sungai Golok adalah sebatang sungai yang memisahkan Malaysia dan Thailand atau lebih kecil lagi negeri Kelantan dengan wilayah Narathiwat.




Terdapat tiga pintu sempadan untuk memasuki Thailand di Kelantan iaitu melalui pos Bukit Bunga yang menghubungkan Buketa; Rantau Panjang dengan pekan Sungai Golok dan Pengkalan Kubur dengan Tak Bai yang mana pengunjung boleh memilih untuk naik feri atau pun bot.

Sungai Golok sepanjang 103 kilometer mengalir dari kawasan pergunungan di daerah Waeng, Narathiwat hingga ke Laut China Selatan itu mempunyai kelebaran kira-kira 50 meter.
Kawasan kediaman, kedai-kedai, pekan dan pasar yang terletak berhampiran dengan tebing Sungai Golok menyebabkan kebanyakan penduduk tempatan memilih untuk menaiki bot untuk pergi ke kawasan seberang dalam masa tidak sampai seminit.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang aktiviti pergerakan bot yang menyediakan perkhidmatan menyeberangi Sungai Golok, penulis menemubual seorang pemilik bot yang dikenali sebagai Pak Mat yang berusia dalam lingkungan 50-an.
“Sudah lama sebenarnya kewujudan bot di Sungai Golok untuk membawa penumpang menyeberangi sungai. Sudah berpuluh tahun atau mungin lebih daripada itu.



“Banyak kampung, kedai, pasar dan sebagainya terletak berhampiran tebing sungai. Jadi, menyeberanginya untuk ke sana adalah laluan paling mudah dan dekat.

“Dahulu seingat Pak Mat, harga tambang cuma 50 sen dan beberapa tahun kemudian naik jadi RM1, sekarang sudah RM2. Keuntungan bergantung kepada penumpang, waktu hujung minggu bolehlah cecah puluhan ringgit,” katanya ketika ditemubual S2 dekat jeti di Pasar Munduk.

Ujar beliau lagi, dahulu perkhidmatan bot di Sungai Golok beroperasi setiap hari, namun sejak berlakunya beberapa kes letupan bom, waktu operasinya kini terhad.

“Ingat lagi dahulu, setiap hari ada orang seberang sungai ini. Tetapi sekarang, selepas kes letupan bom di kawasan sempadan, Pak Mat pun takut.

“Pernah dahulu, bom meletup dekat Pasar Munduk, memang kelam-kabut keadaan waktu itu, sampai ada orang terjun sungai sebab takut. Lepas itu, beberapa hari juga Pak Mat tak bawa bot.

“Sekarang, ada hari-hari tertentu tak boleh seberang, bergantung pada pihak berkuasa. Kadang-kadang mereka bagi, adakalanya tak boleh,” tuturnya.